Penerima Anugerah Belia Cemerlang bagi tahun 2024 ialah Yang Mulia Dayang Basma Lachkar. Penerima ini merupakan seorang mahasiswi di Universiti Teknologi Brunei dan pelajar pertama yang menerima Skim Biasiswa Khas dalam bidang sukan atas kejayaan beliau dalam akademik dan kesukanan. Pencapaian cemerlang beliau dalam kejohanan-kejohanan sukan Wushu terutamanya di peringkat antarabangsa telah mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam dengan meraih 15 pingat emas, 7 pingat perak dan 6 pingat gangsa. Beliau juga telah mencipta sejarah apabila berjaya meraih pingat perak dalam 19th Asian Games 2022 di Hangzhou, China yang menjadi pingat perak pertama negara sejak penyertaan negara di kejohanan tersebut. Terkini, beliau memenangi satu pingat emas dalam 21st ASEAN University Games dan dua pingat emas semasa ‘Asian University Wushu Championships 2024’. Dengan sumbangan beliau yang cemerlang ini beliau telah dikurniakan Pingat Indah Kerja Baik pada tahun 2017; dicalonkan dalam World Athlete of the Year Awards dan turut diberikan penghormatan dengan perasmian ‘Basma Drive’ terletak di Sekolah Sukan. Sehingga kini, beliau masih lagi aktif secara sukarela membantu lebih 70 orang generasi muda dari Miftah An-Nur Islamic International School dan Jerudong International School untuk bergiat aktif dalam sukan Wushu.